Rabu, 12 Mac 2025

Kepergian Yang Dicemburui (Part 3)

Salam dan kembali lagi bersamaku wahai pembaca budiman, 

Hari ini aku kembali menyambung catatanku. Namun kali ini bukan kisahku. InsyaAllah kisahku akan ku sambung pada catatan akan datang. Kali ini aku ingin membincarakan kepergian seorang ibu, isteri dan penyanyi yang menjadi viral yang disebabkan Covid-19 dan menyentuh hati-hati insan sekalipun tidak mengenalinya termasuk aku. Perginya seorang insan yang istimewa bernama Siti Sarah Binti Raissuddin, tanggal 9.8.2021, pada jam 5.13 pagi. Al-Fatihah untuk arwah.

Kenapa aku harus membuat catatan tentang insan ini, sedangkan aku tidak pernah bertemu? Hanya mengenalinya sebagai seorang selebriti. Itupun aku bukanlah seorang peminat tegar yang sentiasa mengikuti perkembangannya. Hanya sekadar ambil tahu seandainya terbaca artikel-artikel mengenainya. Aku juga tidak tahu. Yang jelas sejak insan ini dimasukkan ke hospital, aku sentiasa mengikuti perkembangannya. Ternanti-nanti khabar terbaru melalui media, terutama dari suaminya Syuib. Sejujurnya aku juga berdoa dan mengharapkan agar insan ini kembali pulih dan kembali ke pangkuan keluarga, iaitu anak-anak dan suaminya.
Namun pengumuman suaminya pada pagi Isnin, betul-betul menyentuh hatiku, menyentuh hati setiap insan. Aku turut berduka dan menitiskan air mati setiap kali berita tentangnya disiarkan. Malah melalui Youtube, aku mencari dan menonton semua liputan tentangnya. Aku mengikuti setiap video yang dimuat naik oleh suaminya Syuib. Kenapa ya??

Aku juga tidak tahu mengapa? Mengapa hatiku cukup tersentuh? Sepertinya ada sesuatu yang sangat menyentuh hati nuraniku. Istimewanya insan ini kerana mampu mengusik ketenangan setiap insan agar turut berduka dan menangis atas pemergiannya, termasuklah aku. Setiap kali menonton video-videonya, air mataku terlalu murah untuk mengalir.

Apa yang aku rasakan, ada sesuatu yang ingin DIA sampaikan. Ada sesuatu yang DIA ingin khabarkan. Melihat dan mengikuti kronologi kepergiannya, membuat aku berfikir, bagaimana akhirnya perjalananku kelak? Betapa indahnya perjalanan kembali insan ini. Istimewa di sisi-NYA. Pasti syurga miliknya. Sekalipun meninggalkan insan-insan tersayang, anak-anak, anak yang baru dilahirkan dan sang suami yang sangat menyanyanginya.

Ya, Allah, aku tertanya-tanya bagaimana kesudahan hidupku juga. Aku sangat ngeri memikirkan alam kubur, yang gelap, sempit dan bersendirian. Sungguh....aku sangat-sangat takut memikirkan itu. Apa bekal yang akan aku bawa? Siapa yang akan sudi mendoakan aku?
Aku hanya seorang insan mualaf. Pengetahuan agama yang cetek. Ibadah yang sedikit. Keluarga pun kebanyakan bukan Islam. Lantas siapa sahaja yang akan sudi mendoakan aku.??? Anak-anak? Adakah didikan agama, dari insan yang cetek ilmu agama ini mampu menggerakkan hati anak-anakku agar sentiasa mengirimi ku doa di sana kelak?

Ya, Allah aku sentiasa mohon dimatikan dalam khusunul khotimah, iaitu saat aku sedang mengingati-NYA, saat aku sedang berserah pada-NYA. Aku terlalu takut pada siksa kubur dan siksa neraka.Tuhan...aku mohon.....

Begitulah, kepergian insan istimewa ini, membuat aku juga cemburu. Begitu istimewa sekali. Pelusuk manusia yang mendoakannya. Menitipkan Al-Fatihah, Yassin dan doa buatnya. Sungguh-sungguh menginspirasi, menyentuh hati nurani dan memberi kesedaran.
Ya Allah, engkau gerakkan hatiku agar membuat perkara-perkara yang berfaedah. Engkau bersihkan hatiku dari rasa benci, dendam, marah, sakit hati dan berprasangka kepada orang. lain. Sucikan lah hatiku Ya Allah....Engkau gerakkan hatiku agar menjadi insan pemurah....

Demikianlah yang ingin aku kisahkan dalam catatan ini. Kisah pemergian insan yang biasa-biasa sahaja namun menjadi begitu istimewa dan mampu menyentuh hati nurani insan lain untuk menitipkan doa. Antara hati nurani yang terusik adalah hati kerdilku. 

Terima kasih ya Allah kerana engkau hadirkan rasa ini, engkau hadirkan satu perasaan halus yang mampu menyusuk ke segenap jiwa ragaku. Aku yakin itulah hidayah-MU. Aku yakin itu kasih sayang-Mu. Aku yakin itu petunjuk-MU. Aku yakin itu kuasa-MU.Aku yakin.....kerana hidup matiku hanya pada-MU.

Semoga pengakhiran hidupku baik-baik sahaja.....insyaAllah!

Terima kasih Allah kerana mengingatkan aku tentang persiapan untuk perjalanan Terakhir.

Nurdris
akuseorangmualaf
11.082021



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam kenal dariku kepada pembaca blog ini (Part 1)

Salam semua dan selamat datang ke blog Kisah Hidup Seorang Mualaf, Inilah aku... . Aku adalah seorang wanita yang sangat sederhana, cara hid...