Salam dan bertemu lagi kita dalam blog Kisah Hidup Seorang Mualaf wahai para pembaca budiman. Di mana pun kalian berada, aku mendoakan semoga hidup kalian baik-baik sahaja, dipermudahkan urusan dan sentiasa dalam lindungan Allah.
Pada catatan kali ini, aku kembali menyambung kisah perjalanan hidupku. Kisah kali ini, yang masih terpahat dalam ingatan ku ialah ketika aku di bangku sekolah. Pada ketika itu aku berada dalam darjah 2 atau sekarang dipanggil tahun 2. Pada waktu itu aku bersekolah di sebuah sekolah kecil, SRK Viging. Kalau dahulu semua sekolah rendah akan di gelar SRK, Sekolah Rendah Kebangsaan. Namun sekarang hanya SK, iaitu Sekolah Kebangsaan.
Pada ketika itu dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, subjek ini diajar oleh Ustazah Naimah. Yang seronoknya sesiapa sahaja yang berminat mengikuti kelas itu, dibolehkan. Maka aku pun mengikuti kelas ustazah tersebut. Aku seronok mengikuti kelas Ustazah Naimah kerana dia seorang ustazah yang peramah, suka senyum dan banyak aktiviti dalam pengajarannya. Perkara yang paling aku suka ialah menyanyi nasyid. Kanak-kanak kan.....suka menyanyi.
Semasa mengikuti kelas tersebut maka aku mengenal huruf-huruf jawi. Ketika itu aku pandai menulis dan membaca jawi. Entah, walaupun huruf-huruf jawi itu suatu yang asing bagi ku, tapi aku mudah untuk belajar. Demikianlah mulanya aku mengenal Islam, hanya mengikuti kelas tersebut. Namun ketika itu tiada perasaan apa-apa, bagiku belajar subjek agama Islam ini seperti belajar subjek-subjek yang lain.
Ketika memasuki darjah 3, ayahku memindahkan aku ke sekolah lain. Ini kerana aku tidak mempunyai teman ke sekolah sebab abang-abangku sudah memasuki sekolah menengah. Sebenarnya, rumah ku terletak di antara dua buah sekolah rendah. Kedua-dua sekolah ini jaraknya lebih kurang sama dari rumah ku dengan berjalan kaki. Maka, apabila berpindah sekolah, maka aku kehilangan ustazah Naimah yang baik hati. Aku sedih ketika itu dan ustazah juga ikut sedih kerana dia guru penyanyang. Ketika aku menulis catatan ini, aku tidak pasti ustazah Naimah masih hidup atau sebaliknya. Ini kerana peristiwa itu sudah berlalu 46 tahun yang lalu. Apapun aku mendoakan semoga ustazah naimah sentiasa dalam rahmat Allah, walau berada di mana-mana sekalipun.
Ketika aku bersekolah di sekolah baru iaitu SRK Sumbiling, aku tidak lagi dapat mengikuti subjek agama Islam. Ini kerana subjek itu diajar oleh seorang Ustaz dari Melaka dan beliau tidak membenarkan murid yang tidak beragama Islam mengikuti kelas ini. Tambahan lagi, ustaz ini agak garang dan tidak peramah seperti ustazah Naimah.
Aku kecewa sebenarnya. Kecewa kerana tidak dapat peluang mengikuti subjek Agama Islam seperti di sekolah lama ku. Jadi asas penulisan dan membaca jawi ku itu, hanya yang ku dapati dari sekolah lama bersama Ustazah Naimah. Aku pasti, seandainya aku dibenarkan mengikuti kelas tersebut pasti ketika ini aku lancar membaca dan menulis Jawi dan mungkin juga bahasa Arab.
Demikianlah sedikit pengalaman ku bersama tulisan jawi. Hingga kini aku masih juga mampu membaca jawi tetapi merangkak-rangkak. Ini kerana asas yang ku pelajari hanya pada darjah 2. Walaupun hanya setahun aku belajar bersama Ustaza naimah, sehingga kini aku masih ingat bait-bait lirik lagu nasyid yang kami nyanyikan. Antaranya ialah sejarah kelahiran nabi Muhammad S.A.W dan itu menjadi kenangan terindahku yang masih segar hingga kini.
Demikianlah catatan pengalaman ku bersama tulisan jawi yang ku pelajari ketika darjah 2.
Terima kasih kepada pembaca budiman, yang membaca catatan ini. Jangan lupa mngikuti kisah perjalanan hidup ku pada catatan akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan