Rabu, 12 Mac 2025

Salam kenal dariku kepada pembaca blog ini (Part 1)

Salam semua dan selamat datang ke blog Kisah Hidup Seorang Mualaf,

Inilah aku....Aku adalah seorang wanita yang sangat sederhana, cara hidup sederhana dan suka kepada kesederhanaan dalam semua aspek. Aku berasal dari kampung sebuah perkampungan di Sabah. Sebagai anak kampung aku dibesarkan dengan cara hidup kampung. Ayah dan ibuku adalah petani yang hidup ala kadar dalam menyara kami 9 beradik.

Ketika aku membuat blog ini, usiaku sudah menjagkau 53 tahun pada 24 Julai yang lalu. Sebenarnya keinginan untuk membuat blog sudah lama, namun aku tidak menemui jalannya. Secara tiba-tiba aku menemui video membuat blog di youtube dan ini membuat keinginanku kembali membara untuk membuat satu blog untuk mencoretkan kisah hidupku. Akhirnya terhasillah blog ini Kisah Hidup Seorang Mualaf.

Inginku katakan bahawa segala yang ku coretkan dalam blog ini adalah tentang diriku. Pendapat-pendapat peribadiku tentang sesuatu, juga kegiatan-kegiatan hidupku. Andai ada watak-watak yang hadir dalam kisahku, mereka adalah penyeri dalam perjalanan hidupku dalam pelbagi perwatakan. 

Ketika aku memulakan coretan ini juga keadaan hidupku, emosi ku sangat tenang sekalipun menghadapi PKP yang sudah memasuki fasa 3. Dalam hidup ku kini tidak ada watak-watak keluarga, sahabat atau sesiapun yang ku benci. Sudah lama ku tinggalkan sikap membenci, berdendam pada sesiapa pun sekalipun insan itu menyakitiku. Aku ingin hidup tenang dan gembira dan itu adalah satu satu caranya. Hidup tanpa membenci atau berdendam dengan sesiapa hidup pasti akan tenang dan gembira.

Aku juga berpegang pada pendapat syukuri apa adanya, kerana dengan bersyukur itulah bahagia namanya. Aku percaya pada kata-kata ini kerana inilah yang menjadi pegangan ku dalam menjalani hidup ini. Pergantungan sepenuhnya hanya kepada Allah, kerana segala sesuatu berlaku pasti dengan izin-NYA.

Selain daripada menceritakan kisah hidup ku, aku juga akan berkongsi tentang kegiatan ku dalam hidup. Ketika ini aku mengamalkan Gaya Hidup Aktif Dan Ceria. Kalian boleh melihat melalui Youtube Dris Drisna Channel dan Channel Cikgu Dris & Meow. Antara kegiatan rutinku ialah aku aktif mengikuti aktiviti larian, hiking, diving, sebagai youtuber, suka kepada fotografi, travel, mengikuti aktiviti-aktiviti lasak seperti abseiling, paragliding dan parasailing. Aktiviti harian di rumah pula ialah berkebun bunga dan sayur-sayuran(Aktiviti yang tercetus sejak PKP) dan melayan kucing-kucingku.

Kalian ingin mengetahui bagaimana aku terlibat dengan aktiviti-aktiviti ini?, jawapannya ikutilah perkembangan blog ku ini selalu. Semoga perkongsian ku dalam blog ini dapat memberi manfaat, inspirasi atau sekurang-kurangnya mampu menghibur kalian. Perkongsian ku ini ingin sangat ku tujukan terutama kepada para wanita di luar sana, yang selalu was-was, selalu takut dan terpuruk dalam kebosanan tanpa ada aktviti yang mengembirakan hati. Keluarlah melihat dunia dan nikmati hidup ini selagi punya waktu, kerana hidup adalah anugerah.

Inilah coretan pertama ku dalam blog ini. Andai kalian tergerak untuk mengikuti kisah ku, terima kasih. Semoga kita semua baik-baik sahaja dan sentiasa dalam lindungi Allah.

Salam persaudaraan sesama makhluk Tuhan.

Nurdris

Akuseorangmualaf

31/7/2021



 

Kepergian Yang Dicemburui (Part 3)

Salam dan kembali lagi bersamaku wahai pembaca budiman, 

Hari ini aku kembali menyambung catatanku. Namun kali ini bukan kisahku. InsyaAllah kisahku akan ku sambung pada catatan akan datang. Kali ini aku ingin membincarakan kepergian seorang ibu, isteri dan penyanyi yang menjadi viral yang disebabkan Covid-19 dan menyentuh hati-hati insan sekalipun tidak mengenalinya termasuk aku. Perginya seorang insan yang istimewa bernama Siti Sarah Binti Raissuddin, tanggal 9.8.2021, pada jam 5.13 pagi. Al-Fatihah untuk arwah.

Kenapa aku harus membuat catatan tentang insan ini, sedangkan aku tidak pernah bertemu? Hanya mengenalinya sebagai seorang selebriti. Itupun aku bukanlah seorang peminat tegar yang sentiasa mengikuti perkembangannya. Hanya sekadar ambil tahu seandainya terbaca artikel-artikel mengenainya. Aku juga tidak tahu. Yang jelas sejak insan ini dimasukkan ke hospital, aku sentiasa mengikuti perkembangannya. Ternanti-nanti khabar terbaru melalui media, terutama dari suaminya Syuib. Sejujurnya aku juga berdoa dan mengharapkan agar insan ini kembali pulih dan kembali ke pangkuan keluarga, iaitu anak-anak dan suaminya.
Namun pengumuman suaminya pada pagi Isnin, betul-betul menyentuh hatiku, menyentuh hati setiap insan. Aku turut berduka dan menitiskan air mati setiap kali berita tentangnya disiarkan. Malah melalui Youtube, aku mencari dan menonton semua liputan tentangnya. Aku mengikuti setiap video yang dimuat naik oleh suaminya Syuib. Kenapa ya??

Aku juga tidak tahu mengapa? Mengapa hatiku cukup tersentuh? Sepertinya ada sesuatu yang sangat menyentuh hati nuraniku. Istimewanya insan ini kerana mampu mengusik ketenangan setiap insan agar turut berduka dan menangis atas pemergiannya, termasuklah aku. Setiap kali menonton video-videonya, air mataku terlalu murah untuk mengalir.

Apa yang aku rasakan, ada sesuatu yang ingin DIA sampaikan. Ada sesuatu yang DIA ingin khabarkan. Melihat dan mengikuti kronologi kepergiannya, membuat aku berfikir, bagaimana akhirnya perjalananku kelak? Betapa indahnya perjalanan kembali insan ini. Istimewa di sisi-NYA. Pasti syurga miliknya. Sekalipun meninggalkan insan-insan tersayang, anak-anak, anak yang baru dilahirkan dan sang suami yang sangat menyanyanginya.

Ya, Allah, aku tertanya-tanya bagaimana kesudahan hidupku juga. Aku sangat ngeri memikirkan alam kubur, yang gelap, sempit dan bersendirian. Sungguh....aku sangat-sangat takut memikirkan itu. Apa bekal yang akan aku bawa? Siapa yang akan sudi mendoakan aku?
Aku hanya seorang insan mualaf. Pengetahuan agama yang cetek. Ibadah yang sedikit. Keluarga pun kebanyakan bukan Islam. Lantas siapa sahaja yang akan sudi mendoakan aku.??? Anak-anak? Adakah didikan agama, dari insan yang cetek ilmu agama ini mampu menggerakkan hati anak-anakku agar sentiasa mengirimi ku doa di sana kelak?

Ya, Allah aku sentiasa mohon dimatikan dalam khusunul khotimah, iaitu saat aku sedang mengingati-NYA, saat aku sedang berserah pada-NYA. Aku terlalu takut pada siksa kubur dan siksa neraka.Tuhan...aku mohon.....

Begitulah, kepergian insan istimewa ini, membuat aku juga cemburu. Begitu istimewa sekali. Pelusuk manusia yang mendoakannya. Menitipkan Al-Fatihah, Yassin dan doa buatnya. Sungguh-sungguh menginspirasi, menyentuh hati nurani dan memberi kesedaran.
Ya Allah, engkau gerakkan hatiku agar membuat perkara-perkara yang berfaedah. Engkau bersihkan hatiku dari rasa benci, dendam, marah, sakit hati dan berprasangka kepada orang. lain. Sucikan lah hatiku Ya Allah....Engkau gerakkan hatiku agar menjadi insan pemurah....

Demikianlah yang ingin aku kisahkan dalam catatan ini. Kisah pemergian insan yang biasa-biasa sahaja namun menjadi begitu istimewa dan mampu menyentuh hati nurani insan lain untuk menitipkan doa. Antara hati nurani yang terusik adalah hati kerdilku. 

Terima kasih ya Allah kerana engkau hadirkan rasa ini, engkau hadirkan satu perasaan halus yang mampu menyusuk ke segenap jiwa ragaku. Aku yakin itulah hidayah-MU. Aku yakin itu kasih sayang-Mu. Aku yakin itu petunjuk-MU. Aku yakin itu kuasa-MU.Aku yakin.....kerana hidup matiku hanya pada-MU.

Semoga pengakhiran hidupku baik-baik sahaja.....insyaAllah!

Terima kasih Allah kerana mengingatkan aku tentang persiapan untuk perjalanan Terakhir.

Nurdris
akuseorangmualaf
11.082021



Salam kenal dariku kepada pembaca blog ini (Part 1)

Salam semua dan selamat datang ke blog Kisah Hidup Seorang Mualaf, Inilah aku... . Aku adalah seorang wanita yang sangat sederhana, cara hid...