Salam pembaca yang budiman,
Aku hadir lagi dengan catatan terkini bersama serangkai doa, semoga pembaca budiman dikurniakan kesihatan dari segi mental dan fizikal, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam rahmat dan lindungan Ilahi. Aamin. Semoga kita semua sentiasa redha menerima kehidupan kita mengikut takdir yang ditentukan-NYA, kerana hanya DIA yang maha mengetahui perkara yang terbaik untuk kita.
Catatan ku bersambung ketika aku meninggalkan zaman sekolah rendah. Masuk ke tingkatan satu, ayahku menghantar aku menyambung persekolahan ke sebuah sekolah terbesar di daerah Papar iaitu SMK Majakir. Sebuah sekolah yang besar dan terkenal serta mempunyai asrama. Sebenarnya di daerah kelahiran ku Bongawan, memang ada sekolah menengah. Tapi aku tidak tahu kenapa ayahku menghantar kami adik beradik bersekolah di luar daerah dan tinggal di asrama. Jadi memasuki zaman sekolah menengah , aku berpisah dengan kawan-kawan ku dulu, dalam erti kata aku tidak mempunyai orang yang ku kenali. Memang suatu yang sangat asing bagiku. Namun aku mampu menyesuiakan diri dan mudah mendapat sahabat baru.
Memasuki sekolah menengah tanpa mengenli sesiapa dan dan tinggal di asrama telah membuka lembaran baru dalam hidupku. Mindaku mula terbuka dan pandangan ku semakin luas. Ini kerana selama ini aku hanya tinggal di kampung dan tidak pernah ke mana-mana. Bukanlah kampung itu tidak baik, namun agak tertutup kerana pada letika itu kampung kami tiada bekalan air dan elektrik. Satu-satunya media untuk mengetahui isu semasa ialah melalui radio dan suratkhabar. Suratkhabar pula jarang-jarang dapat dibaca kerana hanya ada dijual di pekan. Jadi hiburan utama kami pada masa itu dan hanya radio. Mendengar lagu-lagu, berita dan juga drama bersiri dan bersyair. Itulah hiburan ketika itu, hanya melalui suara tanpa visual gambar.
Memasuki sekolah menengah aku dimasukkan ke kelas 1 H, iaitu kelas SRT, Sains Rumah Tangga. Pada masa itu terdapat 9 kelas tingkatan satu yang dibahagikan kepada kumpulan Perdaganagan (kelas A, B C). Sains Pertanian ( D,E, F) dan Sains Rumah Tangga (G, H, I). Aku masih ingat, hari pertama aku masuk ke kelas 1 H, aku berkenalan dengan Anne. Sejak hari itu kami berkawan rapat sehingga tingkatan 5. Kami berpisah menuju destinasi masing-masing selepas tingkatan 5. Beberapa tahun setelah berkerja, dan berkeluarga kami menyambung semula persahabatan kami melalui talian Whatssup. Hubungan kami kembali mesra bersama Rose, Win dan Sue. Namun sayangnya, ketika aku menulis catatan ini, sahabatku Anne sudah pergi menemui Ilahi terlebih dahulu kerana kanser perut. Namun syukur, ketika dia sakit kami sempat melawatnya, begitu juga pada hari pengkebumiannya. Semoga roh sahabatku ini tenang di alam sana. Kenangan bersamanya tetap abadi.
Tinggal di asrama, bergaul dengan ramai, telah membawa satu perubahan dalam diriku. Selain belajar hidup berdikari, terasa aku seperti menemui sesuatu. ketika itu penghuni asrama hanya 3 orang sahaja budak-budak iaitu aku tingkatan 1 masa itu dan dua orang lagi seniorku tingkatan 2. Oleh kerana hanya kami bertiga penghuni asrama perempuan yang termuda, maka seluruh perhatian kakak-kakak tertumpu pada kami. Ketika itu aku adalah si bongsu di asrama.
Aku mula terasa seronok tinggal di asrama kerana sentiasa disayangi dan dimanjakan oleh kakak-kakak yang ada. Makan, minum bagiku cukup kerana aku lahir dalam keluarga miskin, makan apa yang ada, jadi makanan di asrama bagiku sudah cukup sedap. Jadual belajar yang teratur, membuat aku lebih selesa dan gembira.
Tinggal di asrama juga secara tidak langsung membuat aku mengenali sikap, tingkah laku dan gaya masing-masing. Ada yang pembersih, rajin, malas, cincai, pengotor, kasar, buat tidak kisah dan sebagainya. Syukur pada ketika itu tidak ada istilah buli membuli. Malah kami bertiga penghuni termuda, sentiasa disayangi dan diberi perhatian. Malah ada seorang kakak bernama Noorhayati T, yang ku panggil mummy sangat menyanyangi ku. Dia melayanku cukup baik dan penuh kasih sayang seperti adiknya. Bagun pagi ku pun sudah tersedia sarapan pagi sedang kan hanya di asrama. Aku juga sangat-sangat menyanyanginya. Namun selepas tingkatan 5 dia tidak lagi menyambung persekolahan di situ, maka itulah detik perpisahan kami. Selepas itu aku tidak pernah jumpa dan mengetahui kisahnya, kerana dahulu tidak ada alat penghubung seperti sekarang. Yang ada hanyalah melalui surat. Melalui catatan ini ku titipkan doa, semoga insan yang ku maksudkan ini sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah. Aaminn.
Kami bertiga, penghuni termuda, aku, Ren dan Nong juga terkenal dalam kalangan penghuni asrama lelaki. Kami sangat dikenali dan juga diberi perhatian. Salah satu sebabnya ialah kami adalah posmen mereka yang ada girlfriend di asrama puteri. Jadi abang-abang yang ingin mengurat, kirim salam atau menghantar surat atau pesanan semuanya melalui kami....hahaha.....memang lucu dan seronok pada waktu itu.
Tinggal di asrama ini juga untuk pertama kalinya aku melihat kakak-kakak yang beragama Islam solat. Selama ini aku tidak pernah melihat kaum Islam bersolat. Mereka yang beragama Kristian pula akan pergi bersembahnyang pada hari Ahad. Mereka dibenarkan keluar sembahyang di gereja yang tidak berapa jauh dari sekolah kami. Demikinlah, aku menyaksikan orang Islam bersolat dan orang kristian sembahyang.
Tapi aku??? harus bagaimana?? aku tidak dapat masuk mana-mana kumpulan itu kerana aku bukan salah seorang daripada mereka. Di situ aku terasa SESUATU!. Ya sesuatu........! Apa itu sesuatu? Sesuatu yang aku rasa, ada satu ruang kosong dalam diri ku. Ya...kosong!
Adakah ruang kosong dalam hidup ku ini akan terisi??? Bagaimana???.....................................................
Akan aku sambug pada catatan akan datang.
Terima ksih pembaca budiman yang menemani perjalanan kisah hidupku malalui catatan ini. Andai ada kesudian silakan menulis sesuatu dalam komen/ulasan. Semua itu amat ku hargai.
Terima kasih..
Nurdris akuseorangmualaf 16.8.2021(Isnin)