Khamis, 5 Ogos 2021

Aku Tidak Pernah Mengenal Tuhan (Part 2)

Salam kepada pembaca yang budiman, 
Aku lanjutkan kisah dalam catatan ini. Ketika zaman kanak-kanak, kehidupanku adalah normal. Sebagaimana kanak-kanak yang lain, bermain, berkelahi, nakal, dan tidak pernah merisaukan apa-apa. Pendek kata, aku memang menikmati zaman kanak-kanak ku dengan pelbagai ragam, sehingga kini zaman itu menjadi satu  kerinduan dalam hidupku.

Namun ada satu yang kurang. Ketika zaman kanak-kanak ku aku tidak pernah mengenal Tuhan. Ini kerana ayah dan ibu ku adalah pagan@free thinker iaitu tidak menganut apa-apa agama. Jadi dalam kehidupan kami seharian tidak ada istilah sembahyang atau yang seumpamanya. Yang ada hanya didikan moral dari kedua ibu bapaku. Meskipun kedua ibu bapaku tiada pegangan agama, namun mereka sangat tegas dari aspek nilai-nilai moral. Didikan moral inilah yang membantu kami adik beradik tumbuh sebagai anak-anak yang mempunyai sahsiah yang baik dan agak disegani oleh rakan-rakan sekampung kami.

Ayahku seorang yang tegas terutama dalam hal-hal berkaitan pelajaran. Kami sama sekali tidak berpeluang untuk ponteng sekolah, melainkan sakit. Tidak seperti kaum bapa yang lain, ayahku seorang yang mempunyai wawasan. Dia lebih memikirkan masa hadapan kami, sekalipun terpaksa membanting tulang untuk mencari nafkah dan membiayai  persekolahan kami. Ayah selalu berkata, kita orang miskin, bapa tiada harta untuk diwariskan kepada kamu, jadi kamu belajarlah betul-betul. Jangan fikir bagaimana kami mencari duit, yang penting kamu perlu belajar sungguh-sungguh.

Ayahku sebenarnya tidak pernah bersekolah. Namun untungnya dia boleh menulis dan membaca dengan baik. Apabila kami tanya, macam mana bapa boleh pandai membaca dan menulis? Kata ayah " bapa belajar dari orang-orang yang pandai membaca dan menulis".  Ayah juga mempunyai satu kegemaran iaitu suka membaca, terutamanya suratkhabar. Melalui hobi membacanya, maka ayah sentiasa tahu perkembangan semasa.

Ketika aku menulis catatan ini ayah sudah berumur 91 tahun. Alhamdulillah masih sihat walaupun sudah tidak kuat untuk bergerak cergas. Hobi ayah masih sama membaca suratkhabar. Namun pada zaman IT ini suratkhabar sudah kurang popular dan sukar didapati. Namun itu tidak menghalang ayah untuk mengikuti perkembangan semasa kerana rancangan TV yang tidak pernah ditinggalkan ialah  rancangan Berita Jam 5 dan Berita Jam 8 malam. Itulah ayahku, meskipun sudah lanjut usia tetapi sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Mama pula sudah lama meninggal dunia ketika berumur 62 tahun. Dialah satu-satunya insan yang ku rindui setiap hari. Dulu, kini dan selamanya(Al-Fatihah untuk mama).

Dalam keluarga, kami tidak ada perayaan keagamaan untuk diraikan. Pesta Menuai yang dirayakan itu, bukanlah perayaan kegamaan, melainkan hanya sebagai budaya atau kepercayaan sahaja. Ketika kecil seingatku, ayah ada mengamalkan kepercayan animisme, iaitu menjamu tempat-tempat tertentu seperti batu besar yang dianggap ada penunggu. Seingat ku, aku pernah mengikuti rombongan ayah dan beberapa orang tua di kampung, pergi menjamu satu batu besar yang mempunyai belahan seperti tingkap. Batu itu terletak di Bukit Batu, bukit yang tertinggi di kampung dan sehingga kini batu masih ada. Perkara yang ku ingat ialah, rombongan itu membawa makanan, minuman dan diletakkan di hadapan pintu batu tersebut. Lantas mereka berkata-kata atau mungkinkah mentera. Segalanya pada ketika itu, aku tidak faham  dan tidak tahu apa-apa. Aku hanya seronok mengikuti acara itu sebab boleh berjalan-jalan. Aku juga mengambil kesempatan mengintai-intai celahan batu itu sambil berkata-kata dalam hati....ada apa di dalam?betulkah ada orang /hantu di dalam?

Hanya sekali itu saja pengalaman ku dalam acara seperti itu. Selebihnya aku tidak ingat langsung. Ada juga amalan adat-adat di kampung  yang aku ingat iaitu acara buang sial iaitu mandi di sungai. Selain itu acara Bobohizan. Namun sehingga kini aku tidak pernah faham sebenarnya.

Terdapat satu perkara yang yang aku sedari sejak kecil. Meskipun ayah dan ibuku tiada pegangan, namun mereka mempercayai adanya Tuhan. Mereka menyebutnya Konohaingan. Namun siapa Kinohoingan itu tidak jelas, yang aku faham itulah Tuhan. Tidak ada cara tertentu untuk mengenali Kinohaingan, seperti sembahyang atau apa-apa.

Itulah kisah ku ketika kecil, aku tidak pernah mengenali Tuhan!

Terima kasih kepada pembaca yang mengikuti catatan, ikuti catatan yang akan datang.

Nurdris
akuseorangmualaf
5.8.2021(Khamis)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Salam kenal dariku kepada pembaca blog ini (Part 1)

Salam semua dan selamat datang ke blog Kisah Hidup Seorang Mualaf, Inilah aku... . Aku adalah seorang wanita yang sangat sederhana, cara hid...