Isnin, 16 Ogos 2021

Aku Terasa Ada Sesuatu Yang Kosong (Part 5)

 Salam pembaca yang budiman,

Aku hadir lagi dengan catatan terkini bersama serangkai doa, semoga pembaca budiman dikurniakan  kesihatan dari segi mental dan fizikal, dipermudahkan segala urusan dan sentiasa dalam rahmat dan lindungan Ilahi. Aamin. Semoga kita semua sentiasa redha menerima kehidupan kita mengikut takdir yang ditentukan-NYA, kerana hanya DIA yang maha mengetahui perkara yang terbaik untuk kita.

Catatan ku bersambung  ketika aku meninggalkan zaman sekolah rendah. Masuk ke tingkatan satu, ayahku menghantar aku menyambung persekolahan ke sebuah sekolah terbesar  di daerah Papar iaitu SMK Majakir. Sebuah sekolah yang besar dan terkenal serta mempunyai asrama. Sebenarnya di daerah kelahiran ku Bongawan, memang ada sekolah menengah. Tapi aku tidak tahu kenapa ayahku menghantar kami adik beradik bersekolah di luar daerah dan tinggal di asrama. Jadi memasuki zaman sekolah menengah , aku berpisah dengan kawan-kawan  ku dulu, dalam erti kata aku tidak mempunyai orang yang ku kenali. Memang suatu yang sangat asing bagiku. Namun aku mampu menyesuiakan diri dan mudah mendapat sahabat baru.

Memasuki sekolah menengah tanpa mengenli sesiapa dan dan tinggal di asrama telah membuka lembaran baru dalam hidupku. Mindaku mula terbuka dan pandangan ku semakin luas. Ini kerana selama ini aku hanya tinggal di kampung dan tidak pernah ke mana-mana. Bukanlah kampung itu tidak baik, namun agak tertutup kerana pada letika itu kampung kami tiada bekalan air dan elektrik. Satu-satunya media untuk mengetahui isu semasa ialah melalui radio dan suratkhabar. Suratkhabar pula jarang-jarang dapat dibaca kerana hanya ada dijual di pekan. Jadi hiburan utama kami pada masa itu dan hanya radio. Mendengar lagu-lagu, berita dan juga drama bersiri dan bersyair. Itulah hiburan ketika itu, hanya melalui suara tanpa visual gambar.

Memasuki sekolah menengah aku dimasukkan ke kelas 1 H, iaitu kelas SRT, Sains Rumah Tangga.  Pada masa itu terdapat  9 kelas tingkatan satu yang dibahagikan kepada kumpulan Perdaganagan (kelas A, B C). Sains Pertanian ( D,E, F) dan Sains Rumah Tangga (G, H, I). Aku masih ingat, hari pertama aku masuk ke kelas 1 H, aku berkenalan dengan Anne. Sejak hari itu kami berkawan rapat sehingga tingkatan 5. Kami berpisah menuju destinasi masing-masing selepas tingkatan 5. Beberapa tahun setelah berkerja, dan berkeluarga kami menyambung semula persahabatan kami melalui talian Whatssup. Hubungan kami kembali mesra bersama Rose, Win dan Sue. Namun sayangnya, ketika aku menulis catatan ini, sahabatku Anne sudah pergi menemui Ilahi terlebih dahulu kerana kanser perut. Namun syukur, ketika dia sakit kami sempat melawatnya, begitu juga pada hari pengkebumiannya. Semoga roh sahabatku ini tenang di alam sana. Kenangan bersamanya tetap abadi.

Tinggal di asrama, bergaul dengan ramai, telah membawa satu perubahan dalam diriku. Selain belajar hidup berdikari, terasa aku seperti menemui sesuatu. ketika itu penghuni asrama hanya 3 orang sahaja  budak-budak iaitu aku tingkatan 1 masa itu dan dua orang lagi seniorku tingkatan 2. Oleh kerana hanya kami bertiga penghuni asrama perempuan yang termuda, maka seluruh perhatian kakak-kakak tertumpu pada kami. Ketika itu aku adalah si bongsu di asrama. 

Aku mula terasa seronok tinggal di asrama kerana sentiasa disayangi dan dimanjakan oleh kakak-kakak yang ada. Makan, minum bagiku cukup kerana aku lahir dalam keluarga miskin, makan apa yang ada, jadi makanan di asrama bagiku sudah cukup sedap. Jadual belajar yang teratur, membuat aku lebih selesa dan gembira.

Tinggal di asrama juga secara tidak langsung membuat aku  mengenali sikap, tingkah laku dan gaya masing-masing. Ada yang pembersih, rajin, malas, cincai, pengotor, kasar, buat tidak kisah dan  sebagainya. Syukur pada ketika itu tidak ada istilah buli membuli. Malah kami bertiga penghuni termuda, sentiasa disayangi dan diberi perhatian. Malah ada seorang kakak bernama Noorhayati T, yang ku panggil mummy sangat menyanyangi ku. Dia melayanku cukup baik dan penuh kasih sayang seperti adiknya. Bagun pagi ku pun sudah tersedia sarapan pagi sedang kan hanya di asrama. Aku juga sangat-sangat menyanyanginya. Namun selepas tingkatan 5 dia tidak lagi menyambung persekolahan di situ, maka itulah detik perpisahan kami. Selepas itu aku tidak pernah jumpa dan mengetahui kisahnya, kerana dahulu tidak ada alat penghubung seperti sekarang. Yang ada hanyalah melalui surat. Melalui catatan ini ku titipkan  doa, semoga insan yang ku maksudkan ini sentiasa dalam rahmat dan lindungan Allah. Aaminn.

Kami bertiga, penghuni termuda, aku, Ren dan Nong juga terkenal dalam kalangan penghuni asrama lelaki. Kami sangat dikenali dan juga diberi perhatian. Salah satu sebabnya ialah kami adalah posmen  mereka yang ada girlfriend di asrama puteri. Jadi abang-abang yang ingin mengurat, kirim salam atau menghantar surat atau pesanan semuanya melalui kami....hahaha.....memang lucu dan seronok pada waktu itu.

Tinggal di asrama  ini juga untuk pertama kalinya aku melihat kakak-kakak yang beragama Islam solat. Selama ini aku tidak pernah melihat  kaum Islam bersolat. Mereka yang beragama Kristian pula akan pergi bersembahnyang pada hari Ahad. Mereka dibenarkan keluar sembahyang di gereja yang tidak berapa jauh dari sekolah kami. Demikinlah, aku menyaksikan orang Islam bersolat dan orang kristian sembahyang.

Tapi aku??? harus bagaimana?? aku tidak dapat masuk mana-mana kumpulan itu kerana aku bukan salah seorang daripada mereka. Di situ aku terasa SESUATU!. Ya sesuatu........! Apa itu sesuatu? Sesuatu yang aku rasa, ada satu ruang kosong dalam diri ku. Ya...kosong!

Adakah ruang kosong dalam hidup ku ini akan terisi??? Bagaimana???.....................................................

Akan aku sambug pada catatan akan datang. 

Terima ksih pembaca budiman yang menemani perjalanan kisah hidupku malalui catatan ini. Andai ada kesudian silakan  menulis sesuatu dalam komen/ulasan. Semua itu amat ku hargai.

Terima kasih..

Nurdris                                                                                                                                                    akuseorangmualaf                                                                                                                                  16.8.2021(Isnin)



Ahad, 15 Ogos 2021

Aku Pandai Membaca dan Menulis Jawi (Part 4)

Salam dan bertemu lagi kita dalam  blog Kisah Hidup Seorang Mualaf wahai para pembaca budiman. Di mana pun kalian berada, aku mendoakan semoga hidup kalian baik-baik sahaja, dipermudahkan urusan dan sentiasa dalam lindungan Allah.

Pada catatan kali ini, aku kembali menyambung kisah perjalanan hidupku. Kisah kali ini, yang masih terpahat dalam ingatan ku ialah ketika aku di bangku sekolah. Pada ketika itu aku berada dalam darjah 2 atau sekarang dipanggil tahun 2. Pada waktu itu aku bersekolah di sebuah sekolah kecil, SRK Viging. Kalau dahulu semua sekolah rendah akan di gelar SRK, Sekolah Rendah Kebangsaan. Namun sekarang hanya SK, iaitu Sekolah Kebangsaan.

Pada ketika itu dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, subjek ini diajar oleh Ustazah Naimah. Yang seronoknya sesiapa sahaja yang berminat mengikuti kelas itu, dibolehkan. Maka aku pun mengikuti kelas ustazah tersebut. Aku seronok mengikuti kelas Ustazah Naimah kerana dia seorang ustazah yang peramah, suka senyum dan banyak aktiviti dalam pengajarannya. Perkara yang paling aku suka ialah menyanyi nasyid. Kanak-kanak kan.....suka menyanyi. 

Semasa mengikuti kelas tersebut maka aku mengenal huruf-huruf jawi.  Ketika itu aku pandai menulis dan membaca jawi. Entah, walaupun huruf-huruf jawi itu suatu yang asing bagi ku, tapi aku mudah untuk belajar. Demikianlah mulanya aku mengenal Islam, hanya mengikuti kelas tersebut. Namun ketika itu tiada perasaan apa-apa, bagiku belajar subjek agama Islam ini seperti belajar subjek-subjek yang lain.

Ketika memasuki darjah 3, ayahku memindahkan aku ke sekolah lain. Ini kerana aku tidak mempunyai teman ke sekolah sebab abang-abangku sudah memasuki sekolah menengah. Sebenarnya, rumah ku terletak di antara dua buah sekolah rendah. Kedua-dua sekolah ini jaraknya lebih kurang sama  dari rumah ku dengan berjalan kaki. Maka, apabila berpindah sekolah, maka aku kehilangan ustazah Naimah yang baik hati. Aku sedih ketika itu dan ustazah juga ikut sedih kerana dia guru penyanyang. Ketika aku menulis catatan ini, aku tidak pasti ustazah Naimah masih hidup atau sebaliknya. Ini kerana peristiwa itu sudah berlalu 46 tahun yang lalu. Apapun aku mendoakan semoga ustazah naimah sentiasa dalam rahmat Allah,  walau berada di mana-mana sekalipun.

Ketika aku bersekolah di sekolah baru iaitu SRK Sumbiling, aku tidak lagi dapat mengikuti subjek agama Islam. Ini kerana subjek itu diajar oleh seorang Ustaz dari Melaka dan beliau tidak membenarkan murid  yang tidak beragama Islam mengikuti kelas ini. Tambahan lagi, ustaz ini agak garang dan tidak peramah seperti ustazah Naimah. 

Aku kecewa sebenarnya. Kecewa kerana tidak dapat peluang mengikuti subjek Agama Islam seperti di sekolah lama ku. Jadi asas penulisan dan membaca jawi ku itu, hanya yang ku dapati dari sekolah lama bersama Ustazah Naimah. Aku pasti, seandainya aku dibenarkan mengikuti kelas tersebut pasti ketika  ini aku lancar membaca dan menulis  Jawi dan mungkin juga bahasa Arab.

Demikianlah sedikit pengalaman ku bersama tulisan jawi. Hingga kini aku masih juga mampu membaca jawi tetapi merangkak-rangkak. Ini kerana asas yang ku pelajari hanya pada darjah 2. Walaupun hanya setahun aku belajar bersama Ustaza naimah, sehingga kini aku masih ingat bait-bait lirik lagu nasyid yang kami nyanyikan. Antaranya ialah sejarah kelahiran nabi Muhammad S.A.W dan itu menjadi kenangan terindahku yang masih segar hingga kini.

Demikianlah catatan pengalaman ku bersama tulisan jawi yang ku pelajari ketika darjah 2.

Terima kasih kepada pembaca budiman, yang membaca catatan ini. Jangan lupa mngikuti kisah perjalanan hidup ku pada catatan akan datang.

Nudris
akuseorang mualaf
15.8.2021(Ahad)


Khamis, 5 Ogos 2021

Aku Tidak Pernah Mengenal Tuhan (Part 2)

Salam kepada pembaca yang budiman, 
Aku lanjutkan kisah dalam catatan ini. Ketika zaman kanak-kanak, kehidupanku adalah normal. Sebagaimana kanak-kanak yang lain, bermain, berkelahi, nakal, dan tidak pernah merisaukan apa-apa. Pendek kata, aku memang menikmati zaman kanak-kanak ku dengan pelbagai ragam, sehingga kini zaman itu menjadi satu  kerinduan dalam hidupku.

Namun ada satu yang kurang. Ketika zaman kanak-kanak ku aku tidak pernah mengenal Tuhan. Ini kerana ayah dan ibu ku adalah pagan@free thinker iaitu tidak menganut apa-apa agama. Jadi dalam kehidupan kami seharian tidak ada istilah sembahyang atau yang seumpamanya. Yang ada hanya didikan moral dari kedua ibu bapaku. Meskipun kedua ibu bapaku tiada pegangan agama, namun mereka sangat tegas dari aspek nilai-nilai moral. Didikan moral inilah yang membantu kami adik beradik tumbuh sebagai anak-anak yang mempunyai sahsiah yang baik dan agak disegani oleh rakan-rakan sekampung kami.

Ayahku seorang yang tegas terutama dalam hal-hal berkaitan pelajaran. Kami sama sekali tidak berpeluang untuk ponteng sekolah, melainkan sakit. Tidak seperti kaum bapa yang lain, ayahku seorang yang mempunyai wawasan. Dia lebih memikirkan masa hadapan kami, sekalipun terpaksa membanting tulang untuk mencari nafkah dan membiayai  persekolahan kami. Ayah selalu berkata, kita orang miskin, bapa tiada harta untuk diwariskan kepada kamu, jadi kamu belajarlah betul-betul. Jangan fikir bagaimana kami mencari duit, yang penting kamu perlu belajar sungguh-sungguh.

Ayahku sebenarnya tidak pernah bersekolah. Namun untungnya dia boleh menulis dan membaca dengan baik. Apabila kami tanya, macam mana bapa boleh pandai membaca dan menulis? Kata ayah " bapa belajar dari orang-orang yang pandai membaca dan menulis".  Ayah juga mempunyai satu kegemaran iaitu suka membaca, terutamanya suratkhabar. Melalui hobi membacanya, maka ayah sentiasa tahu perkembangan semasa.

Ketika aku menulis catatan ini ayah sudah berumur 91 tahun. Alhamdulillah masih sihat walaupun sudah tidak kuat untuk bergerak cergas. Hobi ayah masih sama membaca suratkhabar. Namun pada zaman IT ini suratkhabar sudah kurang popular dan sukar didapati. Namun itu tidak menghalang ayah untuk mengikuti perkembangan semasa kerana rancangan TV yang tidak pernah ditinggalkan ialah  rancangan Berita Jam 5 dan Berita Jam 8 malam. Itulah ayahku, meskipun sudah lanjut usia tetapi sentiasa mengikuti perkembangan semasa. Mama pula sudah lama meninggal dunia ketika berumur 62 tahun. Dialah satu-satunya insan yang ku rindui setiap hari. Dulu, kini dan selamanya(Al-Fatihah untuk mama).

Dalam keluarga, kami tidak ada perayaan keagamaan untuk diraikan. Pesta Menuai yang dirayakan itu, bukanlah perayaan kegamaan, melainkan hanya sebagai budaya atau kepercayaan sahaja. Ketika kecil seingatku, ayah ada mengamalkan kepercayan animisme, iaitu menjamu tempat-tempat tertentu seperti batu besar yang dianggap ada penunggu. Seingat ku, aku pernah mengikuti rombongan ayah dan beberapa orang tua di kampung, pergi menjamu satu batu besar yang mempunyai belahan seperti tingkap. Batu itu terletak di Bukit Batu, bukit yang tertinggi di kampung dan sehingga kini batu masih ada. Perkara yang ku ingat ialah, rombongan itu membawa makanan, minuman dan diletakkan di hadapan pintu batu tersebut. Lantas mereka berkata-kata atau mungkinkah mentera. Segalanya pada ketika itu, aku tidak faham  dan tidak tahu apa-apa. Aku hanya seronok mengikuti acara itu sebab boleh berjalan-jalan. Aku juga mengambil kesempatan mengintai-intai celahan batu itu sambil berkata-kata dalam hati....ada apa di dalam?betulkah ada orang /hantu di dalam?

Hanya sekali itu saja pengalaman ku dalam acara seperti itu. Selebihnya aku tidak ingat langsung. Ada juga amalan adat-adat di kampung  yang aku ingat iaitu acara buang sial iaitu mandi di sungai. Selain itu acara Bobohizan. Namun sehingga kini aku tidak pernah faham sebenarnya.

Terdapat satu perkara yang yang aku sedari sejak kecil. Meskipun ayah dan ibuku tiada pegangan, namun mereka mempercayai adanya Tuhan. Mereka menyebutnya Konohaingan. Namun siapa Kinohoingan itu tidak jelas, yang aku faham itulah Tuhan. Tidak ada cara tertentu untuk mengenali Kinohaingan, seperti sembahyang atau apa-apa.

Itulah kisah ku ketika kecil, aku tidak pernah mengenali Tuhan!

Terima kasih kepada pembaca yang mengikuti catatan, ikuti catatan yang akan datang.

Nurdris
akuseorangmualaf
5.8.2021(Khamis)

Salam kenal dariku kepada pembaca blog ini (Part 1)

Salam semua dan selamat datang ke blog Kisah Hidup Seorang Mualaf, Inilah aku... . Aku adalah seorang wanita yang sangat sederhana, cara hid...